TERBARU : POLIS SEMPORNA TAHAN 33 SUSPEK DIPERCAYAI TERLIBAT DENGAN PENGGANAS SULU
Semporna, 10 Mac - Polis menahan 33 suspek yang dipercayai
terlibat secara langsung dengan pengganas Sulu dan turut disyaki menyalurkan maklumat keselamatan kepada mereka.
Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata
kesemua suspek yang ditahan di kampung pinggir bakau di sini merupakan
warga asing dan mereka dihantar ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Lahad Datu
untuk soal
siasat.
"Mereka dihantar ke IPD Lahad Datu
untuk soal siasat kerana ia berkaitan dengan Op Daulat," katanya kepada
pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata operasi yang
bermula pada 6.30 pagi dan berakhir pada 9 pagi memfokuskan pemeriksaan
dari rumah ke rumah dan turut menahan empat suspek wanita.
Katanya,
kesemua suspek yang berusia 18 tahun ke atas itu, disiasat kerana
dipercayai mempunyai kaitan dan melindungi pengganas Sulu.
Tinjauan Bernama ke lokasi operasi mendapati kira-kira 100 anggota polis
dari IPD Semporna, VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am melakukan pemeriksaan
ke setiap rumah bagi mencari dan mengesan suspek pengganas Sulu.
Op Daulat yang dilancar bagi memburu saki-baki penceroboh bersenjata
dari selatan Filipina itu masuk hari keenam hari ini dengan 53
penceroboh militan dilaporkan ditembak mati.
Sejak
pencerobohan militan pada 12 Feb lepas, lapan anggota polis terkorban
iaitu dua maut dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam
lagi dalam serang hendap di Kampung Simunul di sini sehari kemudian. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment