Sunday, March 10, 2013

Kenyataan Tian Chua benar seperti disiarkan - Editor Keadilan Daily

FADZALLAH Pit (kiri) dan Aisha Geoffrey ditemani Eric Paulsen bercakap kepada pemberita selepas memberikan keterangan di IPD Petaling Jaya berhubung kenyataan Tian Chua yang mempolitikkan isu pencerobohan pengganas Sulu yang disiarkan portal Keadilan Daily, di Petaling Jaya hari ini. - UTUSAN
 
PETALING JAYA 10 Mac - Editor Keadilan Daily, Fazallah Pit mendakwa kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua yang menyatakan insiden tembak-menembak di Kampung Tanduo, Sabah, merupakan satu konspirasi UMNO seperti yang disiarkan di dalam portal itu adalah benar.

Fazallah yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini berkata, wartawan yang menulis berita itu, Aisha Geoffry menghubungi sendiri Tian Chua dan membuat laporan berdasarkan kenyataan ahli politik tersebut.

Fazallah berkata, kenyataan yang telah dibuat dalam konteks sebelum dua anggota pasukan keselamatan ditembak mati iaitu pada 1 Mac lalu itu bagaimanapun telah dimanipulasikan oleh para blogger sehingga memberi pemahaman yang berbeza kepada pembaca.
"Laporan Tian Chua betul tetapi telah dimanipulasi blogger-blogger sehingga memberi gambaran pembacaan yang berbeza.

"Ketika dihubungi Aisha, komen Tian Chua itu adalah sebelum polis mengeluarkan pengesahan rasmi yang mengatakan terdapat anggota polis yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu," katanya ketika ditemui di sini.

Fazallah dan Aisha hadir di pekarangan IPD Petaling Jaya pada pukul 2 petang bagi membantu siasatan berhubung perkara itu, sebelum mereka keluar hampir tiga jam kemudian.

Tian Chua sebelum ini mengeluarkan kenyataan di dalam portal Keadilan Daily bahawa insiden tembak-menembak di Kampung Tanduo, Sabah merupakan konspirasi UMNO bagi mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Sementara itu, peguam yang mewakili kedua-dua belah pihak, Eric Paulsen pula menyifatkan, siasatan yang dijalankan polis adalah satu pembaziran serta remeh untuk dijalankan.

"Lebih 200 laporan yang disiasat polis adalah banyak membazirkan masa dan agak remeh. Jelas sekali isu ini berbau politik dan Tian Chua telah ‘dikambinghitamkan’," katanya.

Difahamkan, buku nota Aisha yang menyalin segala percakapan Tian Chua ketika dihubungi telah diambil polis untuk tujuan siasatan. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment