Sunday, March 10, 2013

ADUN LENDU MENINGGAL DUNIA AKIBAT BARAH USUS

Allahyarham Datuk Idderis Kassim



MELAKA TENGAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Idderis Kassim, 66, meninggal dunia di Hospital Pakar Putra, di sini, kira-kira jam 6.50 petang tadi, dipercayai akibat barah usus.
Allahyarham yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meninggal dunia di wad hospital berkenaan, selepas 20 hari dimasukkan ke hospital itu.

Idderis yang dipilih menjadi ADUN Lendu pada 2008 meninggalkan isteri, Datin Rohani Yunus, 61, dua anak, Zamran, 39, dan Zulkarnain, 36, serta empat cucu.

Zamran berkata, ayahnya yang menghidap penyakit itu sejak 2011 menghembuskan nafas terakhir di hadapan keluarganya selepas dimasukkan ke hospital itu pada 19 Februari lalu.

"Arwah mula mengalami komplikasi tekanan darah rendah kira-kira jam 4.30 petang tadi, sebelum dia disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 petang.

"Jenazah allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Batu 19 3/4 Ayer Limau, Masjid Tanah dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ayer Limau pada jam 11 pagi esok (hari ini)," katanya ketika ditemui di hospital itu, sebentar tadi.

Anak sulung itu berkata, sebelum dimasukkan ke hospital, ayahnya sempat menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sebuah sekolah Cina di Parlimen Masjid Tanah.
Pada Pilihan Raya Umum 2004, Idderis memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau dan dilantik menjadi Timbalan Speaker DUN Melaka hingga kini. 
 

No comments:

Post a Comment