LAHAD DATU 10 Mac - Seorang remaja lelaki maut dan seorang lelaki
cedera di kaki setelah terkena tembakan pasukan keselamatan dalam
operasi memburu penceroboh di Kampung Sungai Bilis dekat sini hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian pada 9.45
pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang melakukan pemeriksaan
ke atas lima individu yang berada dalam Zon Merah berhampiran Kampung
Tanjung Batu.
"Ketika pasukan keselamatan sedang bergerak menjejak pengganas di
kawasan sasaran di Kampung Sungai Bilis, muncul dua lelaki dan tiga
wanita dewasa dari kawasan belukar berhampiran.
"Mereka segera ditangkap dan ketika sedang diperiksa kedengaran bunyi
pergerakan dari kawasan belukar berdekatan di mana pasukan keselamatan
secara spontan telah melepaskan tembakan ke arah belukar itu," katanya
pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri
Zulkifeli Mohd Zin di markas Ops Daulat Felda Sahabat 16 di sini.
Beliau berkata pemeriksaan segera yang dilakukan mendapati remaja
lelaki itu yang dipercayai berusia antara 12 dan 15 tahun, terbunuh
manakala seorang lelaki 30-an, cedera di kaki. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment