KUALA LUMPUR: Penduduk di Lahad Datu, Sabah hari ini terus
diingatkan supaya tidak memasuki atau mendekati kawasan operasi atau
kawasan yang dilabelkan zon merah oleh pihak berkuasa.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, penduduk diminta
memberi kerjasama kerana sehingga kini anggota keselamatan negara masih
bertungkus lumus menjalankan operasi Op Daulat bagi menghapuskan
kumpulan penceroboh militan bersenjata dari selatan Filipina itu.
"Itu adalah kawasan panas, kita minta penduduk jangan masuk atau hampiri kawasan terbabit ini.
"Selain itu jika ada berita yang disebarkan pihak tertentu
sila buat pengesahan di ibu pejabat polis berhampiran, sama-samalah kita
membantu pasukan keselamatan untuk memastikan keadaan dan keamanan di
Sabah dapat dipulihkan," katanya ketika dihubungi menerusi program
Malaysia Hari Ini (MHI) yang disiar secara langsung di TV3, pagi ini.
Op Daulat yang dilancar bagi memburu saki-baki penceroboh bersenjata
dari Selatan Filipina memasuki hari keenam dengan 53 penceroboh militan
dilaporkan terbunuh dalam operasi itu.
Sejak pencerobohan militan pada 12 Februari lalu, lapan anggota
polis terkorban iaitu dua wira terkorban dalam pertempuran di Kampung
Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Semporna pada 2
Mac. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment