Thursday, March 14, 2013

Virus nCoV ragut mangsa kesembilan

GENEVA: Sejenis virus seperti Sindrom Pernafasan Akut (SARS) yang menyerang Britain dan Asia Barat meragut nyawa seorang mangsa baru di Arab Saudi, menjadikan angka kematian global akibat penyakit misteri itu kepada sembilan orang, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan bahawa lelaki berusia 39 tahun yang menunjukkan tanda-tanda pada 24 Februari lalu dan dirawat empat hari kemudian, meninggal dunia 2 Mac lalu. 

Siasatan awal menunjukkan mangsa tiada berhubung dengan kes dilaporkan sebelum ini, kata WHO dalam satu kenyataan. Pendedahan potensi lain kini sedang disiasat.

Virus baru korona, dikenali sebagai nCoV, kali pertama dikesan pertengahan tahun lalu.

Termasuk mangsa terbaru, sejumlah 15 kes kini dilaporkan.

Sembilan kematian berpusat di Arab Saudi, Jordan dan Britain. Di Britain, ia membabitkan sebuah keluarga, seorang daripadanya mengunjungi Asia Barat dan Pakistan.

Kelmarin, WHO mengulangi gesaan ke atas negara anggotanya supaya berhati-hati terhadap kes jangkitan pernafasan teruk dan secara berhati-hati mengkaji sebarang corak luar biasa.

WHO kini bekerja sama dengan pakar antarabangsa dan negara di mana kes dilaporkan untuk menilai situasi dan mengkaji cadangan untuk pengawasan dan pemantauan, katanya.

Negara anggota perlu secara segera menilai dan memaklumkan WHO sebarang kes baru jangkitan nCoV, bersama maklumat berhubung pendedahan potensi yang mengakibatkan jangkitan, ia menambah.

AFP

No comments:

Post a Comment