Thursday, March 14, 2013

Tumpah darah terkenang suami

Ipoh: Kematian Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dalam pertempuran dengan pengganas di Lahad Datu, baru-baru ini masih ditangisi isterinya, Noor Aziah Noor.
Kesedihan kerana kehilangan suami tercinta dalam pertempuran pertama pasukan keselamatan dengan pengganas pada 1 Mac lalu di Kampung Tanduo, turut menyebabkan Noor Aziah, 28, yang sedang hamil mengalami tumpah darah Isnin lalu. 

Namun, menurut ibunya, Khalipah Mohd Isa, 54, kandungannya yang berusia dua bulan disahkan selamat. Dia masih belum kuat dan belum dapat terima hakikat kehilangan arwah. Mungkin juga sebab letih dan banyak terima kunjungan ramai orang sehingga tumpah darah. Buat masa ini, dia masih berehat di rumah dan lebih banyak termenung, katanya.

Terima sumbangan

Beliau ditemui selepas mewakili Noor Aziah menerima sumbangan RM20,000 daripada FELDA Global Ventures Holding Bhd (FGVHB); DRB-HICOM (RM10,000) serta ganjaran cuti rehat Allahyarham berjumlah RM9,700 pada majlis di Mes Pegawai Kanan Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Hulu Kinta di sini semalam.

Pada majlis itu, isteri Sarjan Sabaruddin Daud, 47, seorang lagi anggota Komando VAT 69 yang gugur, Nurunnisa Abu Bakar, turut menerima sumbangan berjumlah RM20,000 daripada FGVHB dan RM10,000 (DRB-HICOM) serta ganjaran cuti rehat berjumlah RM15,900.

Turut menerima sumbangan ialah waris Komando VAT 69 yang cedera dengan masing-masing menerima RM5,000.

Mereka ialah Dora Ablina Abdullah, isteri Lans Koperal Mohd Tarmizi Hashim; Marinah Djapar (isteri Koperal Azman Ampong) serta ibu bapa Lans Koperal Mohamad Qaiyum Aikal Zolkipli iaitu Zolkipli Mohd Sidek dan Hasnah Abdul Manan.

Sumbangan disampaikan isteri Pengerusi Kumpulan FELDA, Puan Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid, diiringi isteri Ketua Pegawai Eksekutif FGVHB, Datin Dr Jahara Yahaya. Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datin Seri Puziah Bahari.

Khalipah berkata, Kementerian Pelajaran juga sudah meluluskan permintaan Noor Aziah untuk menukar latihan praktikal dari sebuah sekolah di Tanjung Rambutan, dekat sini, ke sebuah sekolah di Kangar, Perlis, dekat dengan kampung halamannya, mulai Isnin ini.

Majlis tahlil

Beliau yang berada di Ipoh sejak dua minggu lalu bagi membantu memelihara dua cucunya, berkata mereka sekeluarga dijangka balik ke Kangar selepas solat Jumaat esok.

Pada Rabu depan, kami mengadakan majlis tahlil untuk arwah, katanya sambil berharap kepulangan mereka ke kampung halaman sekurang-kurangnya dapat mengubati kesedihan Noor Aziah.

Sementara itu, Dora Ablina, 32, mengambil cuti sebagai penjawat awam semata-mata untuk menjaga suaminya yang masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Setiap hari saya membaca Yassin memohon agar suami segera pulih, katanya.

No comments:

Post a Comment