Friday, March 15, 2013

Singapura bakal miliki jet tempur F-35 AS

Singapura: Singapura berada dalam tahap akhir menilai jet tempur F-35 Amerika Syarikat untuk menaik taraf tentera udaranya. Jadi, Singapura tentu akan segera membuat tempahan berpuluh-puluh jet yang berdepan masalah lebihan kos dan kelewatan penghantaran, kata sumber.

Singapura, hab perniagaan dan perkapalan dengan tentera paling lengkap di Asia Tenggara, dijangka menyerahkan surat permohonan tidak lama lagi untuk mendapatkan F-35 Joint Strike Fighter, kata dua pegawai Amerika mengenai perkara ini. 

Republik itu akan memulakan proses minggu ini untuk membeli pesawat yang dibina Lockheed Martin Corp itu, kata seorang pegawai. Pratt & Whitney, satu unit dalam United Technologies Corp, membina enjin untuk F-35. 

Selasa lalu, menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen, berkata tentera udara mengenal pasti F-35 sebagai pesawat paling sesuai untuk usaha memodenkan armada perang. 

“Pesawat F-5 milik kami menghampiri tahap akhir operasi dan F-16 dalam fasa pertengahan. Kita kini dalam tahap akhir menilai F-35,” katanya di Parlimen. 

Ng tidak memberikan tarikh tetapi berkata kementerian pertahanan akan berpuas hati jika jet pejuang itu menepati keperluan jangka panjang, memulakan operasi, dan paling penting ia berkesan dari segi kos. 

Tentera Udara Singapura kini memiliki 24 F-15SG, 20 F-16C dan 40 F-16D, 28 F-5S dan sembilan F-5T, menurut Institut Kajian Strategik Antarabangsa. Ia juga memiliki 19 helikopter tempur AH-64D Apache.

Singapura yang ada 5.3 juta penduduk itu bercadang membelanjakan S$12.3 bilion (RM30.6 bilion) bagi tujuan pertahanan pada tahun kewangan 2013 bermula April ini, peningkatan 4.3 peratus daripada tahun sebelumnya.

No comments:

Post a Comment