Tuesday, March 12, 2013

OP DAULAT: 54 penceroboh mati, 97 lagi ditahan

Selepas seminggu Operasi Daulat, polis hari ini mengumumkan Kampung Tanduo, kawasan pendaratan penceroboh militan sebulan lepas, kini bersih daripada kumpulan itu.

Pasukan keselamatan kini memberi tumpuan untuk membanteras penceroboh militan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan Sungai Bilis.

Semalam seorang penceroboh ditembak mati di Kampung Tanjung Batu menjadikan jumlah pengganas militan yang mati setakat ini ialah 54 orang manakala 97 ditahan kerana disyaki terbabit dengan pengganas militan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Pasukan keselamatan turut menahan 122 orang kerana berada dalam zon larangan Operasi Daulat.

Pada 8 Mac pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh militan itu yang diikuti dengan operasi susulan dan penggeledahan bagi memburu mereka.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mej. Jen. Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di sini, Hamza berkata, 22 mayat pengganas militan telah dibawa keluar dan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Hamza turut membenarkan wartawan mengambil gambar mayat-mayat pengganas militan itu bagi menepis dakwaan pihak tertentu yang mempersoalkan jumlah pengganas yang terbunuh.

Ditanya mengenai laporan akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa Azzimuddie Kiram yang mengetuai pencerobohan itu, berjaya melarikan diri dalam operasi pasukan keselamatan di Semporna, Hamza dengan tegas menolak dakwaan berkenaan.

“Kalau saya tahu dia di Semporna sudah lama saya tangkap,” katanya.

Beliau turut menafikan laporan bahawa pasukan keselamatan menggunakan kekerasan terhadap masyarakat pendatang dari Sulu.


No comments:

Post a Comment