Wednesday, March 13, 2013

ABIM beri Anugerah ‘Sayyidatina Khadijah’ kepada Wan Azizah

 
KUALA LUMPUR 13 Mac - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) baru-baru ini telah memberikan Anugerah Khas ‘Sayyidatina Khadijah’ kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Ismail.

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Dr Siddiq Fadzil bersempena Himpunan Helwa Kebangsaan 2013 yang berlangsung di Auditorium Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 2 Februari lalu.

Menurut laman web rasmi ABIM (www.abim.org.my), anugerah tersebut diberikan “atas keberanian Wan Azizah menegakkan keadilan, kebenaran dan memperjuangkan Islam ke arah perubahan."

Laman web itu menyebut, ABIM turut memberikan Anugerah Khas ‘Sayyidatina Aishah’ kepada bekas pensyarah Jabatan Fizik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga bekas Ketua Helwa ABIM, Allahyarhamah Profesor Dr. Khadijah Salleh.

Sementara itu portal berita rasmi PKR, Keadilan Daily berkata, majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; anaknya yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah serta beberapa pemimpin PKR lain.

ABIM hari ini memfailkan saman terhadap Utusan Melayu (M) Berhad bagi menuntut ganti rugi RM10 juta atas dakwaan syarikat akhbar itu memfitnah pertubuhan bukan kerajaan itu.

Saman itu difailkan oleh Presidennya, Amidi Abdul Manan kerana mendakwa artikel bertarikh 8 Februari lalu di muka surat 11 akhbar tersebut bertajuk “Pas benarkan tarian lucah, ABIM hina isteri Rasulullah?" memfitnah pertubuhan itu.

Artikel melalui ruangan “Suara Blog" itu menyiarkan laporan sebuah blog yang membidas ABIM kerana memberikan anugerah menggunakan nama isteri Rasulullah itu kepada isteri seorang pembangkang yang sebelum ini terpalit dengan beberapa isu moral. - UTUSAN ONLINE


No comments:

Post a Comment