Seorang
jurutera yang pernah berkhidmat selama 11 tahun di Amerika Syarikat dan
kini kembali ke tanah air, membuat laporan polis berhubung keraguannya
terhadap bendera PKR yang didakwanya mempunyai persamaan dengan mata
wang sebuah negara luar.
Mohamad Ridhwan Batumalai Abdullah, 41, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Saya minta supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim menerangkan makna logo
yang mempunyai warna biru, putih, merah dalam bendera itu dan siapakah
nama orang yang mencipta bendera dan logo Parti Keadilan (PKR) ini,”
katanya kepada pemberita.
Katanya beliau cuba mendapatkan penjelasan daripada pemimpin PKR di
sebalik penciptaan logo dan warna di dalam bendera parti terbabit sejak
empat tahun lalu, namun gagal.
Mohamad Ridhwan Batumalai yang mempunyai pengalaman dalam bidang
minyak, gas dan pentadbiran korporat berkata beliau akan mengadakan
sidang akhbar dalam masa terdekat sekiranya Anwar enggan menjelaskan
perkara berkenaan.
“Sekiranya Anwar tidak dapat memberi penjelasan, rakyat tidak
seharusnya mengundi parti pembangkang itu pada pilihan raya umum akan
datang,” katanya mengenai keputusannya membuat laporan polis demi
kepentingan negara dan bukan atas paksaan mana-mana pihak.
“Sebagai seorang mualaf, saya tidak boleh melihat umat Nabi Muhammad
SAW berpecah belah kerana Nabi Muhammad tidak suka umatnya berpecah
belah,” katanya.
No comments:
Post a Comment