Petang tadi, saya bersama sahabat, bekas pengacara dan penerbit TV3, berada di lobi hotel di Kuala Lumpur.
Sahabat saya itu, pelakon, Haji Omar Abdullah.
Sewaktu keluar
dan berdiri berhampiran pintu masuk utama hotel terbabit, saya terlihat
Omar sedang berbual rancak bersama lelaki tidak saya kenali.
"Mungkin ini kawan Omar," bisik hati kecil saya.
Mereka terus berbual.
"Ayah saya, Selamat telah meninggal dunia," kata lelaki terbabit.
"Selamat mana?," soal Omar.
"Takkan tidak kenal Selamat?," balas lelaki cukup petah bercakap itu.
Omar mempunyai ramai kenalan, jadi dia menganggap mungkin terlupa individu bernama Selamat.
Lelaki itu
berbaju kemeja, di sebelah kiri dicetak logo 1 Malaysia. Jika dilihat
dari segi penampilan, dia kelihatan bergaya dan yakin dengan setiap
kenyataan dilontarkan.
Beberapa minit kemudian Omar melangkah masuk ke coffe house
hotel untuk makan malam ala buffet. Lelaki bertubuh kurus tinggi itu
mengekorinya dan kemudian duduk makan bersama. Saya menyusul kemudian
dan duduk di meja sama, di kerusi bertentangan lelaki tanpa identiti
itu.
"Saya memang
tahu perancangan Tunku Mahkota Johor. Berita terkini, baginda akan
membeli pemain bola sepak, Tores untuk menyertai pasukan bola sepak
Negeri Johor," ujarnya selamba.
"Akmal kalau pandai main bola, boleh dibeli juga," tambahnya.
Terlintas di
hati, andai dia mengenali, masakan saya dipanggil Akmal. Majoriti
kenalan memanggil saya Mazidul. Dari gaya percakapannya, timbul
prasangka lalu saya bertindak mendiamkan diri.
Menurut Omar, ketika berbual sebelum itu, lelaki terbabit mendakwa memiliki production house dan rakan kongsinya, berstatus menteri.
Selesai makan, saya bertemu Omar kembali tanpa lelaki itu.
"Tadi dia berkata, kononnya sudah berbincang bersama rakan kongsi dia dan bersetuju memberikan saya peluang berlakon 25 scene dalam satu drama terbitan syarikat mereka dengan kadar bayaran RM150 untuk satu scene," kata Omar.
Saya mendengar.
"Beberapa minit
kemudian, saya bertanya kepada dia, mengapakah tidak balik lagi?
Katanya, kereta dia jauh sebab kehabisan minyak. Itulah, katanya, hendak
bagi tahu kehabisan wang, segan. Dia kemudian meminta saya duit,
kononnya untuk mengisi minyak kereta. Selepas itu katanya, tadi dia
memang lapar lalu mengikut saya makan," jelas Omar.
Pada usia di awal 60 an, Omar tentunya sudah masak dengan kaedah penipuan conman. Selepas makan dia selamba keluar tanpa menjelaskan bil makanan dan minuman di hotel terbabit.
"Saya beritahu
dia, saya tidak membawa wang tunai, hanya menggunakan kad kredit. Nanti
saya tanya Mazidul, mungkin dia membawa wang lebih," ujar Omar.
Apabial ditanya rakan di hotel sama, dia mengatakan lelaki itu telah menghilangkan diri.
Hairan, dia mendakwa mempunyai production house, amat
mengenali Tunku Mahkota Johor, dan beberapa individu ternama, masakan
dia tidak mempunyai wang tunai RM10 untuk mengisi minyak kereta.
Barangkali dia terlupa fakta, Omar adalah bekas penerbit kedua program dikenali ramai disiarkan oleh TV3, 999.
No comments:
Post a Comment