Thursday, March 14, 2013

Remaja dihukum dipenjara dan sebat rompak 7-Eleven

PETALING JAYA: Seorang bekas tukang cuci dihukum penjara tiga tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak berkumpulan terhadap pekerja kedai serbaneka 7-Eleven, tahun lalu.
Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Riduan Sekh Ruslan, 21, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan itu. 

Mohd Riduan bersama-sama seorang yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Nor Rashidah Radzali, 20, dengan mengambil wang tunai sebanyak RM42 dan enam kotak rokok milik 7-Eleven, di kedai serbaneka itu di No 9 GF Jalan SP 2/2 Seksyen U3, Taman Subang Perdana, Kampung Baru Subang, pada 7.30 pagi, 28 Nov tahun lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat.

Terdahulu, tertuduh yang menangis semasa rayuan bagi mengurangkan hukuman berkata dia perlu menanggung keluarga dan mempunyai ibu yang menghidap penyakit barah payudara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment