Thursday, March 14, 2013

Lahad Datu:Dua Helikopter Tentera Darat Tiba Bagi Perkukuh Operasi Daulat

Dua buah helikopter Pasukan Udara Tentera Darat Agusta 109 LOH tiba di Felda Residence pada hari kesepuluh Op Daulat di sini, Ahad. 

LAHAD DATU: Dua helikopter pelbagai guna milik Tentera Darat, Agusta Westland AW109 tiba di padang markas Operasi Daulat di Felda Sahabat 16, dekat sini, Khamis.

Helikopter jenis peninjau dan pengangkut menggunakan enjin berkembar serta mampu memuatkan lapan penumpang itu diperlukan bagi mengukuhkan lagi kekuatan pasukan keselamatan dalam usaha menggempur pengganas sejak pencerobohan dikesan 12 Feb lepas.

Ia susulan pengumuman Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, semalam bahawa kekuatan dari segi aset dan anggota Operasi Daulat perlu ditambah untuk terus menggempur penceroboh militan khususnya di Kampung Tanjung Batu dan Sungai Nyamuk.

Zulkifeli berkata langkah menguatkan pertahanan dan kawalan itu bertujuan menutup terus laluan kepada musuh daripada menceroboh ke negara ini sama ada di laut atau di darat.

Selain helikopter itu, 12 kereta perisai berantai jenis Adnan dan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia juga dijangka tiba di sini secara berperingkat.

Sejak pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 56 musuh, manakala lapan anggota polis dan dua tentera gugur di pihak Malaysia.


-Terengganu Today

No comments:

Post a Comment