Najib Tun Razak diiringi Muhyiddin Yassin dan Dr. Ali Hamsa berjalan masuk ke dewan bagi menghadiri Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA ) Ke-13 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. - Utusan/WAHIDAH ZAINAL |
PUTRAJAYA 11 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sistem saraan baru perkhidmatan
awam yang dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (SST).
Pelaksanaan SST, kata beliau, adalah berdasarkan kepada
perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan dan input daripada
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Antara perubahan di bawah SST, kata Perdana Menteri adalah
persetujuan kerajaan semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji
Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT)
sebanyak tiga kali berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Perdana Menteri berkata, hal yang demikian diputuskan kerana sebanyak
182,434 penjawat awam berada di paras gaji maksimum pada 2013 dan tidak
dapat menikmati kenaikan gaji tahunan.
Kerajaan juga, kata Perdana Menteri, bersetuju memberi semua penjawat
awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai
ini.
''Ini bermakna setiap penjawat awam mendapat antara RM80 dan RM320
yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion,'' katanya ketika
berucap sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MPPA XIII) di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua
Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, Timbalan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Farida Mohd. Ali dan Presiden
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS),
Datuk Omar Osman serta menteri-menteri Kabinet.
MPPA XIII yang bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam,
Merealisasikan Wawasan 2020' dihadiri hampir 8,700 penjawat awam dari
pelbagai sektor dan agensi.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga bersetuju menyambung kontrak
50,000 pegawai kontrak yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini
setahun lagi, sementara kajian menyeluruh dilaksanakan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan seramai 166,541 kakitangan dalam
gred gaji 1 hingga 10 akan dinaik taraf ke gred setaraf kelayakan masuk
Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Menurut beliau, perubahan itu akan memberi manfaat dari segi laluan
kerjaya dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji kumpulan berkenaan.
Perdana Menteri berkata, kenaikan pangkat kumpulan pelaksana pula
akan dipendekkan berdasarkan tempoh perkhidmatan daripada 15 tahun
kepada 13 tahun yang akan memberi manfaat kepada 17,000 penjawat yang
layak.
''Kerajaan juga secara prinsip bersetuju meluaskan kaedah pelaksanaan
kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat
Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.
''Kesemuanya ini dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang,'' katanya.
Menurut Najib, sebanyak 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik
tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirunding semula iaitu
bagi skim perkhidmatan bakat, juruteknik, pegawai atau penolong pegawai
dan pembantu galian serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.
Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri mahu penjawat awam menguasai
teknologi agar mereka kekal relevan dengan peredaran semasa kerana
kemahiran komunikasi baru perlu menjadi teras kepada tugas berhadapan
dengan rakyat secara langsung.
''Kehidupan hari ini dipacu oleh kepantasan, ketepatan, ketelusan dan keluasan maklumat yang diterima.
''Justeru penjawat awam perlu bersifat proaktif melakukan penyebaran
maklumat bersandarkan ketetapan tanpa melanggar peraturan agar sistem
pentadbiran tidak dikompromi keabsahannya,'' katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam supaya memelihara
integriti bagi memastikan ketirisan wang atau maklumat yang menjejaskan
keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku.
Katanya, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini
diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik.
No comments:
Post a Comment