KUALA LUMPUR 12 Mac - Malaysia sentiasa memantau laporan media
Filipina mengenai individu yang kemungkinan menjadi dalang di sebalik
insiden pencerobohan di Lahad Datu, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata laporan-laporan media yang dipantau ialah mengenai pendedahan penglibatan individu tertentu dalam kejadian itu.
"Pada hemat saya, banyak lagi bukti-bukti yang akan dikeluarkan oleh
media Filipina dan ia akan dikeluarkan jika terbukti (laporan itu) kukuh
oleh mereka.
"Saya tak mahu implikasikan pada mana-mana individu, biarlah media
Filipina yang menyebutnya," katanya pada sidang akhbar selepas
mengumumkan Prestasi Kewangan Tahun 2012 Kementerian Pertahanan, di sini
hari ini.
Ahmad Zahid berkata jika individu yang disebut media negara itu
merasakan laporan media Filipina itu sebagai tidak benar, mereka boleh
menyaman media berkenaan.
Sementara itu, beliau mengingatkan media Filipina agar tidak menulis
laporan atau fakta tidak tepat berhubung kejadian di Lahad Datu kerana
ia hanya akan mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara.
"Saya harap mereka (media Filipina) lebih berhati-hati menulis fakta
yang sebenar," kata Ahmad Zahid sambil sekali lagi menegaskan bahawa
pasukan keselamatan Malaysia tidak menembak atau membunuh
sewenang-wenangnya seperti yang dilakukan penceroboh militan dari
selatan Filipina itu.
Beliau memberi contoh sebuah portal berita Filipina yang memetik
seorang rakyat Filipina sebagai mendakwa kononnya pasukan keselamatan
Malaysia mengheret lelaki Filipina keluar dari rumah mereka di Sandakan,
Sabah dan menyuruh mereka berlari sekuat hati sebelum menembak mereka.
Ditanya mengenai kawalan di perairan Sabah sekiranya Operasi Daulat
ditamatkan, Ahmad Zahid berkata: Seperti yang dinyatakan PM (Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak), kita akan mempunyai kem tetap di
Lahad Datu.
"Kem ini menyerupai apa yang dilakukan di Sarawak dalam Markas
Keselamatan Kawasan Rajang (Rascom). Ia bukan sahaja akan libatkan
Angkatan Tentera Malaysia, malah akan libatkan polis, Agensi
Penguatkuasa Maritim dan Majlis Keselamatan Negara," katanya. - BERNAMA
artikel berkaitan klik sini
No comments:
Post a Comment