Tuesday, March 12, 2013

Empat pemain Johor bakal sarung jersi JDT

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (JDT) mungkin mengambil empat pemain Johor yang beraksi dalam Liga Perdana untuk menyarung jersi pasukan itu menjelang jendela perpindahan pemain April ini seperti yang ditetapkan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Walaupun belum ada pengesahan dari pengendali skuad yang bergelar Harimau Selatan, Fandi Ahmad namun ada petanda kelibat kapten, Mohd Farid Ramli, Muhammad Nazr Ahmad, Jasazrin Jamaludin dan pemain import, Andre Francisco Da Silva bakal dinaik pangkat beraksi di kancah liga elit domestik dan akan memulakan latihan pertama, Khamis ini.
Manakala empat pemain Johor DT - Mohd Ezaidy Khadar, K Sathiya, Azmi Muslim dan Simone Del Nero akan beraksi untuk skuad Merah Biru dalam saingan Liga Perdana namun semuanya bergantung kepada keputusan pengurusan Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ).


Harap kemelut selesai

Difahamkan perpindahan pemain yang berkuatkuasa April ini yang dibenarkan oleh FAM membabitkan tiga pemain tempatan dan seorang pemain import dan jika proses itu berjalan lancar, sudah pasti kemelut yang melanda skuad Harimau Selatan tatkala buntu menguatkan benteng pertahanan akan selesai dengan kehadiran Mohd Farid dan Muhammad Nazri menguatkan posisi bek kiri dan kanan manakala Jasazrin akan menguatkan jentera tengah.

Ketika ini, skuad Harimau Selatan hanya bergantung kepada Irfan Abd Ghani dan sering menukar pemain mengisi posisi bek kanan sama ada menurunkan Tuah Iskandar atau Mohd Redzuan Nawi yang masih belum mempamerkan aksi konsisten sehingga mudah buat pasukan lawan memecah benteng pertahanan.

Persoalan sekarang, apakah Del Nero sanggup diturunkan pangkat dan tempatnya diambil alih oleh Andre Francisco namun selepas beberapa aksi yang dipamerkan oleh bekas pemain Lazio itu jelas tidak memiliki keistimewaan selaku pemain tengah berbahaya.
 
 

No comments:

Post a Comment