Tuesday, March 12, 2013

Adik Kiram bincang tamat pencerobohan

 












ESMAIL KIRAM (kiri) berdiri di sebelah Roxas di ibu pejabat polis di bandar Quezon, Manila, FIlipina semalam.


MANILA - Seorang adik pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Setiausaha Dalam Negeri Filipina, Manuel Roxas II di ibu pejabat polis di pinggir bandar Quezon, utara Manila semalam.

Menurut akhbar dalam talian Inquirer.net, pertemuan antara Bantilan Esmail Kiram II yang merupakan adik Jamalul Kiram dengan Roxas menunjukkan kesediaan keluarga Kiram untuk menamatkan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Sebelum ini, para pengikut Jamalul Kiram menceroboh Sabah pada 12 Februari lalu dan bertempur dengan anggota-anggota keselamatan Malaysia.

Kumpulan pengikut itu mendakwa mereka menuntut tanah warisan nenek moyang Jamalul Kiram di Lahad Datu.

Pertemuan antara Esmail Kiram dengan Roxas itu membincangkan strategi untuk menamatkan krisis di Sabah.

Pendedahan tersebut dibuat pada sidang akhbar adik Jamalul Kiram itu yang disertai beberapa anggota keluarganya selepas pertemuan tersebut berlangsung.

Bagaimanapun, Esmail Kiram enggan mendedahkan butiran terperinci tentang pertemuan itu dengan menyatakan cadangan mereka untuk menamatkan krisis tersebut perlu diketahui oleh Presiden Filipin, Benigno Aquino III terlebih dahulu.

Menurutnya, beliau pernah diundang oleh kerajaan Malaysia untuk bercakap dengan adiknya, Azzimuddie Kiram dan membantu dalam rundingan tetapi usaha tersebut menjadi sia-sia.

Azzimuddie merupakan ketua pengganas Sulu di Sabah yang mengetuai serangan terhadap anggota-anggota keselamatan Malaysia.

"Tidak ada keperluan untuk saya pergi ke sana. Beliau (Azzimuddie) memberitahu saya, beliau tegas dengan keputusannya untuk berada di Sabah," kata Esmail Kiram.

"Saya bimbang akan berlaku sesuatu terhadap diri saya," tambahnya.

"Pilihan kedua yang ditawarkan kepada saya adalah untuk menghantar satu pihak ke Malaysia bagi memastikan keselamatan keluarga Kiram dan para pegawai pemerintah Filipina.

"Namun, saya terkejut kerana kerajaan Malaysia sehingga kini tidak memberikan sebarang reaksi," kata Esmail Kiram. 

"Ia bukan lagi menjadi kesalahan kami," tambahnya.
Menurutnya, jika beliau memujuk Azzimuddie untuk kembali ke Filipina dan meletakkan senjata, pujukan itu mungkin tidak didengari.

"Adalah sukar untuk menyuruhnya untuk pulang. Beliau pergi dengan kehendak sendiri," kata Esmail Kiram.

Beliau berkata, Azzimuddie tidak pernah memberitahunya tentang rancangan untuk ke Sabah.

"Beliau (Azzimuddie) berkata, tujuannya hanya untuk tinggal di sana kerana ia merupakan tanah kami dan mereka membawa senjata demi untuk keselamatan diri," katanya. 

Esmail Kiram juga memberitahu pemberita bahawa Jamalul Kiram melarang anak perempuannya, Jacel Kiram daripada bercakap kepada media tentang isu pencerobohan di Sabah.

Menurutnya, hanya Abraham Idjirani dibenarkan untuk memberikan kenyataan kepada media.

Beliau berkata, Jacel yang merupakan seorang wanita mungkin beremosi ketika membuat kenyataan.

Ketika ditanya tentang dakwaan kekejaman polis Malaysia terhadap imigran Filipina di Sabah, Esmail Kiram menyatakan, ia bukan perkara baharu dan layanan buruk tersebut berlaku sejak sebelum krisis di Sabah berlaku.

"Mereka telah melayan warga Filipina bukan sebagai manusia biasa.

"Apa yang mereka lakukan adalah tidak mengikut Islam dan perlakuan orang tidak percayakan Islam," tambahnya.

Sementara itu, ketika mengulas tentang pertemuan dengan Esmail Kiram, Roxas memberitahu, tiada imuniti ditawarkan kepada keluarga Kiram daripada tindakan undang-undang semasa mereka bertemu.

Menurutnya, pertemuan tersebut menumpukan tentang isu pengunduran para penceroboh tersebut. - Agensi


No comments:

Post a Comment