Tuesday, March 12, 2013

Temu bual eksklusif mangsa culik pengganas dari Sulu

Temu bual eksklusif mangsa culik pengganas dari Sulu ~ Laman Xtive Utusan Malaysia


sumber

87 elaun dikaji semula

Putrajaya: Nasib kakitangan awam akan lebih terbela berikutan keputusan kerajaan mengkaji semula 87 elaun termasuk elaun bantuan sara hidup (COLA) serentak dengan penambahbaikan 22 skim perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata penambahbaikan itu dijangka siap sebelum hujung tahun ini dan diumumkan sama ada pada akhir November atau awal Disember ini. 

Syor skim perumahan khas
 


Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membuat cadangan kepada kerajaan mewujudkan skim perumahan khas kakitangan awam, terutama generasi muda.

Ramai penjawat awam yang mahu memiliki rumah di bandar besar tapi tidak kesampaian kerana kenaikan mendadak harga rumah. Kita akan lihat sama ada skim yang disyorkan ini boleh digabungkan dengan skim perumahan PR1MA. Kita juga akan tambah unit kuarters di tempat yang diperlukan, katanya.

Ali turut menolak tanggapan negatif bahawa insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah buah tangan pilihan raya kerana pelarasan gaji dan jawatan serta penambahbaikan perkhidmatan awam diumumkan setiap tahun.

Tarik minat jadi tentera
 
Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, percaya keserataan pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan perkhidmatan awam am akan menarik minat lebih ramai menyertai pasukan keselamatan.

Keserataan gred jawatan dan gaji ini adalah satu lonjakan drastik untuk ATM serta PDRM dan kita amat menghormati peranan mereka.

Saya percaya, inisiatif untuk kakitangan awam am lain juga berupaya menggerakkan mereka supaya lebih produktif, katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan kerana 22 isu berhubung kakitangan awam berjaya diselesaikan sejak lima tahun lalu. 

Lahad Datu : Detik cemas berdepan militan

 Detik cemas berdepan militan


 Sebahagian penduduk Kampung Tanjung Labian yang terperangkap selama seminggu mula keluar dari kampung berkenaan bagi menyelamatkan diri.


Lahad Datu: Sekumpulan wartawan dan jurugambar menempuh pengalaman mendebarkan apabila terserempak anggota militan bersenjata ketika membuat tinjauan di Kampung Tanjung Labian, FELDA Sahabat dekat sini, semalam.

Lebih mencemaskan, lapan wartawan dari pelbagai media ‘dipaksa’ berlari bersama penduduk yang secara tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian dan bertempiaran meninggalkan kampung itu.
Kejadian pada jam 10 pagi itu membabitkan wartawan dan jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), jurugambar The Star, New Straits Times serta jurukamera dan pemberita BERNAMA TV dan Al-Hijrah.


Lokasi lengang

Mengimbas kembali, wartawan BERNAMA, Mohd Hisham Abdul Rafar, berkata beliau bersama rakan mendapati perkampungan yang dikelilingi ladang kelapa sawit itu lengang dan suram.

Malah, mereka yang tiba dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan PROTON Saga juga menggambarkan penempatan itu seolah- olah ‘kampung berhantu’ kerana rumah tiada berpenghuni serta tidak berkunci dengan binatang ternakan berkeliaran.

“Seperti biasa, kami menjalankan tugas mencari berita dan merakam keadaan kampung.
Tiba-tiba sekumpulan penduduk bergegas keluar dari beberapa penjuru kampung, seolaholah lari dari sesuatu.

“Terkejut dengan keadaan itu, kami menahan seorang daripada mereka bagi bertanyakan apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertindak demikian selepas mendengar empat das tembakan dilepaskan dari dalam kawasan itu,” katanya.

Menyedari keadaan itu boleh mengancam keselamatan, Mohd Hisham yang sebelum ini pernah mengikuti misi kemanusiaan ke Pakistan segera beredar dari lokasi terbabit bersama rakan media lain.

Lelaki bersenjata

Jurufoto The Star, Normimie Diun, 38, berkata situasi bertambah genting apabila beliau yang ketika itu berada dalam kenderaan terlihat seorang lelaki berpakaian serba hitam sambil memegang senjata berdiri berhampiran pokok kelapa sawit, kira-kira enam meter dari kedudukan mereka.

Cemas dengan keadaan itu, beliau dan rakan menundukkan kepala dan pemandu terus memecut meninggalkan kawasan itu. 


sumber

OP DAULAT: 54 penceroboh mati, 97 lagi ditahan

Selepas seminggu Operasi Daulat, polis hari ini mengumumkan Kampung Tanduo, kawasan pendaratan penceroboh militan sebulan lepas, kini bersih daripada kumpulan itu.

Pasukan keselamatan kini memberi tumpuan untuk membanteras penceroboh militan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan Sungai Bilis.

Semalam seorang penceroboh ditembak mati di Kampung Tanjung Batu menjadikan jumlah pengganas militan yang mati setakat ini ialah 54 orang manakala 97 ditahan kerana disyaki terbabit dengan pengganas militan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Pasukan keselamatan turut menahan 122 orang kerana berada dalam zon larangan Operasi Daulat.

Pada 8 Mac pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh militan itu yang diikuti dengan operasi susulan dan penggeledahan bagi memburu mereka.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mej. Jen. Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di sini, Hamza berkata, 22 mayat pengganas militan telah dibawa keluar dan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Hamza turut membenarkan wartawan mengambil gambar mayat-mayat pengganas militan itu bagi menepis dakwaan pihak tertentu yang mempersoalkan jumlah pengganas yang terbunuh.

Ditanya mengenai laporan akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa Azzimuddie Kiram yang mengetuai pencerobohan itu, berjaya melarikan diri dalam operasi pasukan keselamatan di Semporna, Hamza dengan tegas menolak dakwaan berkenaan.

“Kalau saya tahu dia di Semporna sudah lama saya tangkap,” katanya.

Beliau turut menafikan laporan bahawa pasukan keselamatan menggunakan kekerasan terhadap masyarakat pendatang dari Sulu.


Empat pemain Johor bakal sarung jersi JDT

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (JDT) mungkin mengambil empat pemain Johor yang beraksi dalam Liga Perdana untuk menyarung jersi pasukan itu menjelang jendela perpindahan pemain April ini seperti yang ditetapkan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Walaupun belum ada pengesahan dari pengendali skuad yang bergelar Harimau Selatan, Fandi Ahmad namun ada petanda kelibat kapten, Mohd Farid Ramli, Muhammad Nazr Ahmad, Jasazrin Jamaludin dan pemain import, Andre Francisco Da Silva bakal dinaik pangkat beraksi di kancah liga elit domestik dan akan memulakan latihan pertama, Khamis ini.
Manakala empat pemain Johor DT - Mohd Ezaidy Khadar, K Sathiya, Azmi Muslim dan Simone Del Nero akan beraksi untuk skuad Merah Biru dalam saingan Liga Perdana namun semuanya bergantung kepada keputusan pengurusan Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ).


Harap kemelut selesai

Difahamkan perpindahan pemain yang berkuatkuasa April ini yang dibenarkan oleh FAM membabitkan tiga pemain tempatan dan seorang pemain import dan jika proses itu berjalan lancar, sudah pasti kemelut yang melanda skuad Harimau Selatan tatkala buntu menguatkan benteng pertahanan akan selesai dengan kehadiran Mohd Farid dan Muhammad Nazri menguatkan posisi bek kiri dan kanan manakala Jasazrin akan menguatkan jentera tengah.

Ketika ini, skuad Harimau Selatan hanya bergantung kepada Irfan Abd Ghani dan sering menukar pemain mengisi posisi bek kanan sama ada menurunkan Tuah Iskandar atau Mohd Redzuan Nawi yang masih belum mempamerkan aksi konsisten sehingga mudah buat pasukan lawan memecah benteng pertahanan.

Persoalan sekarang, apakah Del Nero sanggup diturunkan pangkat dan tempatnya diambil alih oleh Andre Francisco namun selepas beberapa aksi yang dipamerkan oleh bekas pemain Lazio itu jelas tidak memiliki keistimewaan selaku pemain tengah berbahaya.
 
 

Penstrukturan gaji baharu

Najib Tun Razak diiringi Muhyiddin Yassin dan Dr. Ali Hamsa berjalan masuk ke dewan bagi menghadiri Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA ) Ke-13 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. - Utusan/WAHIDAH ZAINAL


PUTRAJAYA 11 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sistem saraan baru perkhidmatan awam yang dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (SST).

Pelaksanaan SST, kata beliau, adalah berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Antara perubahan di bawah SST, kata Perdana Menteri adalah persetujuan kerajaan semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak tiga kali berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Perdana Menteri berkata, hal yang demikian diputuskan kerana sebanyak 182,434 penjawat awam berada di paras gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan.

Kerajaan juga, kata Perdana Menteri, bersetuju memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai ini.

''Ini bermakna setiap penjawat awam mendapat antara RM80 dan RM320 yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion,'' katanya ketika berucap sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MPPA XIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Farida Mohd. Ali dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta menteri-menteri Kabinet.

MPPA XIII yang bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020' dihadiri hampir 8,700 penjawat awam dari pelbagai sektor dan agensi.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga bersetuju menyambung kontrak 50,000 pegawai kontrak yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini setahun lagi, sementara kajian menyeluruh dilaksanakan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan seramai 166,541 kakitangan dalam gred gaji 1 hingga 10 akan dinaik taraf ke gred setaraf kelayakan masuk Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Menurut beliau, perubahan itu akan memberi manfaat dari segi laluan kerjaya dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji kumpulan berkenaan. 

Perdana Menteri berkata, kenaikan pangkat kumpulan pelaksana pula akan dipendekkan berdasarkan tempoh perkhidmatan daripada 15 tahun kepada 13 tahun yang akan memberi manfaat kepada 17,000 penjawat yang layak.

''Kerajaan juga secara prinsip bersetuju meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.

''Kesemuanya ini dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang,'' katanya.

Menurut Najib, sebanyak 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirunding semula iaitu bagi skim perkhidmatan bakat, juruteknik, pegawai atau penolong pegawai dan pembantu galian serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.

Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri mahu penjawat awam menguasai teknologi agar mereka kekal relevan dengan peredaran semasa kerana kemahiran komunikasi baru perlu menjadi teras kepada tugas berhadapan dengan rakyat secara langsung.

''Kehidupan hari ini dipacu oleh kepantasan, ketepatan, ketelusan dan keluasan maklumat yang diterima.

''Justeru penjawat awam perlu bersifat proaktif melakukan penyebaran maklumat bersandarkan ketetapan tanpa melanggar peraturan agar sistem pentadbiran tidak dikompromi keabsahannya,'' katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam supaya memelihara integriti bagi memastikan ketirisan wang atau maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku.

Katanya, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik.

Mutakhir Kampung Tanduo kini bersih daripada pengganas


Lahad Datu: Selepas seminggu Operasi Daulat, polis hari ini mengisytiharkan Kampung Tanduo, kawasan pendaratan penceroboh pada 12 Februari lalu, kini bersih daripada pengganas.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menggeledah kini ditumpukan di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Sungai Bilis, yang terletak kira-kira lima kilometer (km) dari Kampung Tanduo.

Ketua Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, bagaimanapun berkata pasukan keselamatan tidak membenarkan penduduk kembali ke Kampung Tanduo berikutan operasi masih dijalankan di kampung berdekatan.

"Kami belum pasti bila penduduk Kampung Tanduo akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya pada sidang media di Felda Sahabat 16 dekat sini, hari ini.

sumber