Monday, March 11, 2013

LAHAD DATU: Dakwaan dikasari tak betul

Lahad Datu: Polis dan masyarakat Suluk menafikan laporan media Filipina kononnya pihak berkuasa mengasari masyarakat negara itu yang bertaraf pelarian dan pendatang tanpa izin di Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata pihaknya tidak menerima laporan daripada mana-mana pihak sama ada mereka yang mendakwa menjadi mangsa penderaan atau pihak ketiga yang mewakili kepentingan masyarakat berkenaan.
Tak terima laporan “Tidak ada, kami tidak terima laporan,” katanya pada sidang media di FELDA Sahabat 16 dekat sini, semalam.


Beliau mengulas laporan The Philippine Daily Inquirer semalam kononnya ribuan masyarakat Filipina di Sabah melarikan diri ke negara asal kerana bimbang menjadi mangsa penderaan polis atas alasan membantu penceroboh dan pengganas.

Media itu juga mendakwa ada warga Filipina bertaraf pelarian diheret keluar rumah, dipukul dan dipaksa berlari sebelum dilepaskan tembakan ke udara.

Jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani dilapor mendakwa, seorang wanita sarat mengandung turut ditahan sehingga terpaksa melahirkan bayinya di balai polis.

Tidak mudah terpengaruh
Berikutan itu, Hamza meminta orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita dimuatkan dalam media sosial, terutama yang mendakwa masyarakat Suluk tempatan dikasari dan meminta mendapatkan kesahihan di balai polis berhampiran.

Di Sandakan, ada antara masyarakat Suluk mengambil keputusan pulang ke negara asal secara sukarela susulan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu.

Ia sekali gus menafikan laporan akhbar Filipina yang mendakwa masyarakat Suluk melarikan diri kerana keganasan pihak berkuasa. 
 

No comments:

Post a Comment