Tuesday, March 12, 2013

Mutakhir Kampung Tanduo kini bersih daripada pengganas


Lahad Datu: Selepas seminggu Operasi Daulat, polis hari ini mengisytiharkan Kampung Tanduo, kawasan pendaratan penceroboh pada 12 Februari lalu, kini bersih daripada pengganas.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menggeledah kini ditumpukan di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Sungai Bilis, yang terletak kira-kira lima kilometer (km) dari Kampung Tanduo.

Ketua Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, bagaimanapun berkata pasukan keselamatan tidak membenarkan penduduk kembali ke Kampung Tanduo berikutan operasi masih dijalankan di kampung berdekatan.

"Kami belum pasti bila penduduk Kampung Tanduo akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya pada sidang media di Felda Sahabat 16 dekat sini, hari ini.

sumber

Monday, March 11, 2013

SST - sistem saraan baru perkhidmatan diumum

PUTRAJAYA 11 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sistem saraan baru perkhidmatan awam yang dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (SST).

Pelaksanaan SST, kata beliau, adalah berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Antara perubahan di bawah SST, kata Perdana Menteri ialah persetujuan kerajaan semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak tiga kali berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Perdana Menteri berkata, hal yang demikian diputuskan kerana sebanyak 182,434 penjawat awam berada di paras gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan.

Kerajaan juga, kata Perdana Menteri, bersetuju memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai ini.

"Ini bermakna setiap penjawat awam mendapat antara RM80 dan RM320 yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya ketika berucap sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MPPA XIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd. Ali; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta menteri-menteri Kabinet.

MPPA XIII yang bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020' dihadiri hampir 8,700 penjawat awam dari pelbagai sektor dan agensi.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga bersetuju menyambung kontrak 50,000 pegawai kontrak yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini setahun lagi, sementara kajian menyeluruh dilaksanakan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan seramai 166,541 kakitangan dalam gred gaji 1 hingga 10 akan dinaik taraf ke gred setaraf kelayakan masuk Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Menurut beliau, perubahan itu akan memberi manfaat dari segi laluan kerjaya dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji kumpulan berkenaan. 

Perdana Menteri berkata, kenaikan pangkat kumpulan pelaksana pula akan dipendekkan berdasarkan tempoh perkhidmatan daripada 15 tahun kepada 13 tahun yang akan memberi manfaat kepada 17,000 penjawat yang layak.

"Kerajaan juga secara prinsip bersetuju meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.

"Kesemuanya ini dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang," katanya.

Menurut Najib, sebanyak 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirunding semula iaitu bagi skim perkhidmatan bakat, juruteknik, pegawai atau penolong pegawai dan pembantu galian serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.

Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri mahu penjawat awam menguasai teknologi agar mereka kekal relevan dengan peredaran semasa kerana kemahiran komunikasi baru perlu menjadi teras kepada tugas berhadapan dengan rakyat secara langsung.

"Kehidupan hari ini dipacu oleh kepantasan, ketepatan, ketelusan dan keluasan maklumat yang diterima.

"Justeru penjawat awam perlu bersifat proaktif melakukan penyebaran maklumat bersandarkan ketetapan tanpa melanggar peraturan agar sistem pentadbiran tidak dikompromi keabsahannya," katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam supaya memelihara integriti bagi memastikan ketirisan wang atau maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku.

Katanya, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik. - UTUSAN

Pengganas semakin tertekan



PASUKAN keselamatan negara berjalan dengan penuh semangat untuk menggempur saki-baki pengganas di Lahad Datu semalam.
 



LAHAD DATU - Terus bersembunyi kerana tiada tempat mahu lari. Begitulah keadaan pengganas Sultan Sulu yang semakin tertekan apabila pasukan keselamatan mengetatkan lagi kawalan di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu di sini yang menjadi kubu kuat mereka sebelum ini.

Dengan misi untuk memusnahkan kesemua pengganas yang semakin lemah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mendapat sokongan moral dan penambahan kekuatan sejak wilayah Sabah diceroboh pada 12 Februari lalu.

Berdasarkan semangat kerjasama tersebut, penggeledahan dan pemburuan pengganas di kedua-dua kampung yang terletak tujuh kilometer antara satu sama lain terus dipertingkatkan.

Keluasan kawasan yang dikuasai pasukan keselamatan di Lahad Datu ialah kira-kira 10 kilometer persegi. Pasukan keselamatan juga telah meletakkan 20 buah kapal di perairan Sabah dan menghantar tujuh batalion tentera.

Selain Lahad Datu, pasukan keselamatan turut menguasai kawasan Semporna, Kunak, Tawau dan Sandakan.

Bermula dengan serangan udara secara besar-besaran pada 5 Mac lalu, pasukan keselamatan terlebih dahulu menggempur kubu pengganas di Kampung Tanduo. Ekoran serangan itu, sebahagian daripada puak pengganas dipercayai melarikan diri ke Kampung Tanjung Batu.

Panglima ATM, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd. Zin berkata, mengikut maklumat, saki-baki kumpulan pengganas yang dipercayai tinggal 100 orang itu sudah dikepung dan diyakini sukar melarikan dir
i.

LAHAD DATU: Dakwaan dikasari tak betul

Lahad Datu: Polis dan masyarakat Suluk menafikan laporan media Filipina kononnya pihak berkuasa mengasari masyarakat negara itu yang bertaraf pelarian dan pendatang tanpa izin di Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata pihaknya tidak menerima laporan daripada mana-mana pihak sama ada mereka yang mendakwa menjadi mangsa penderaan atau pihak ketiga yang mewakili kepentingan masyarakat berkenaan.
Tak terima laporan “Tidak ada, kami tidak terima laporan,” katanya pada sidang media di FELDA Sahabat 16 dekat sini, semalam.


Beliau mengulas laporan The Philippine Daily Inquirer semalam kononnya ribuan masyarakat Filipina di Sabah melarikan diri ke negara asal kerana bimbang menjadi mangsa penderaan polis atas alasan membantu penceroboh dan pengganas.

Media itu juga mendakwa ada warga Filipina bertaraf pelarian diheret keluar rumah, dipukul dan dipaksa berlari sebelum dilepaskan tembakan ke udara.

Jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani dilapor mendakwa, seorang wanita sarat mengandung turut ditahan sehingga terpaksa melahirkan bayinya di balai polis.

Tidak mudah terpengaruh
Berikutan itu, Hamza meminta orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita dimuatkan dalam media sosial, terutama yang mendakwa masyarakat Suluk tempatan dikasari dan meminta mendapatkan kesahihan di balai polis berhampiran.

Di Sandakan, ada antara masyarakat Suluk mengambil keputusan pulang ke negara asal secara sukarela susulan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu.

Ia sekali gus menafikan laporan akhbar Filipina yang mendakwa masyarakat Suluk melarikan diri kerana keganasan pihak berkuasa. 
 

Jangan sebar berita tidak benar - Pengarah Hospital Semporna

EMPORNA 11 Mac - "Tolong jangan sebar berita atau maklumat tidak benar di tempat kami hingga mencetuskan ketakutan kepada penduduk," kata Pengarah Hospital Daerah Semporna, Dr. Amran Japar hari ini.
 
Beliau berkata, kawalan keselamatan yang dilakukan anggota polis terutama di kawasan hospital itu memberi keyakinan kepada penduduk untuk berurusan seperti biasa.

Namun ada segelintir pemberita yang melaporkan berita palsu seterusnya menakutkan penduduk, katanya.

Serentak itu, beliau dengan keras menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang mendakwa empat lelaki bersenjata M-16 dipercayai pengganas Sulu, datang ke Hospital Daerah Semporna untuk menuntut mayat anggota kumpulan mereka.

"Saya minta janganlah pihak pemberita memandai-mandai membuat berita palsu ini, kerana mungkin ia akan menyebabkan penduduk takut untuk ke hospital," katanya kepada Bernama.

Dr. Amran turut memberitahu bahawa sejak insiden serang hendap di Kampung Simunul 2 Mac lepas yang mengorbankan enam anggota polis, sepasukan anggota polis bersenjata berkawal di hospital itu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Supritendan Mohd. Firdaus Francis Abdullah berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kehadiran empat individu bersenjata di Hospital Daerah Semporna.

"Saya ingin tegaskan di sini, jangan mudah percaya dengan khabar angin, saya minta mereka (pihak tidak bertanggungjawab) hentikan berita palsu ini," katanya. - BERNAMA


Mutakhir Penjawat awam dapat kenaikan gaji tahunan lebih awal

Putrajaya: Kerajaan hari ini bersetuju untuk memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai 2013.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata ini bermakna setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320. 

"Langkah itu akan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020', di sini. 

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta menteri Kabinet. 

sumber 

Video Eksklusif Isu Lahad Datu Dari Menteri Sulu





 Temu ramah khas isu Lahad Datu-Sulu bersama Asree Sug (penulis buku TAUSUG & Kesultanan Sulu) berdasarkan persoalan orang awam yang telah diambil secara survey di laman sosial Facebook.

6 soalan terpilih yang diajukan kepada Asree Sug adalah:

1. Siapa Asree Sug?

2. Apakah perbezaan antara Tausug & Suluk?

3. Kenapa Tausug tidak mengaku diri mereka Filipino?

4. Apakah keunikan buku yang ditulis oleh Asree Sug?

5. Apakah komen Asree Sug berkenaan isu Lahad Datu-Sulu?

6. Apakah ada penyelesaiannnya dari kaca mata Asree Sug?