Thursday, March 14, 2013

Lahad Datu: Satu pengalaman

Sejak berita Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah diceroboh pengganas diketuai Jamalul Kiram III yang mendakwa daripada keturunan Sultan Sulu tercetus 12 Februari lalu, ia mencemaskan banyak pihak. Malaysia yang dikenali sebagai sebuah negara aman dan makmur, tiba-tiba menjadi tarikan dan perhatian seluruh dunia. Tiba-tiba saja berita mengenai pencerobohan daripada kumpulan yang didakwa mewarisi keturunan Sulu itu menjadi berita utama akhbar dan stesen televisyen terkemuka antarabangsa. Laman web, blog dan segala bentuk media sosial begitu aktif menyiarkan pelbagai maklumat yang sesetengahnya tidak bersumber dan tidak beretika.

Bagi penduduk Lahad Datu dan seluruh rakyat negara ini, mereka tidak memerlukan tumpuan dunia hanya disebabkan bumi negara ini diceroboh. Ia bukanlah publisiti yang diharapkan kerana ia boleh menimbulkan persepsi tidak baik ke atas negara. Peristiwa itu menyusahkan hidup penduduk Lahad Datu, malah menghantui pemikiran setiap rakyat yang cintakan keamanan. Paling ditakuti peristiwa itu mengancam nyawa sesiapa saja di Lahad Datu, malah di tempat lain juga. Mengambil contoh sikap militan pengganas di serata dunia, mereka sanggup melakukan apa saja demi mencapai cita-cita mereka. Dengan meletakkan mereka sebagai kategori pengganas, bermakna kumpulan ini juga tidak ada bezanya. Mereka berpotensi boleh bertindak secara militan kerana sememangnya dilatih secara militan. Melihat kepada senjata yang dirampas dan tindakan nekad mereka ke atas pasukan keselamatan yang mereka lakukan, adalah jelas kumpulan ini adalah pengganas yang berbahaya. 

Ambil tindakan ketenteraan 
 


Pada peringkat awal juga, mereka yang tidak jelas dengan tindakan pasukan keselamatan menganggap pihak berkuasa terlalu berlembut dengan pengganas berkenaan. Hakikatnya, rundingan yang dijalankan meminta mereka meninggalkan Lahad Datu, adalah semata-mata percubaan untuk mengelakkan berlaku pertumpahan darah. Hanya setelah menyedari rundingan tidak meninggalkan positif, tidak menggempur terpaksa diambil. Sudah tentulah, setelah tempoh yang diberikan supaya mereka berundur beberapa kali disambung, namun mereka masih berkeras, tindakan ketenteraan adalah jalan penyelesaian terakhir.
Sejak hari pencerobohan itu, penduduk Lahad Datu tidak berani keluar rumah sewenang-wenangnya. Ibu bapa resah jika anak pulang lewat, begitu juga anak asyik menunggu di depan pintu kepulangan ayah mereka. Berikutan berita angin yang begitu cepat merebak selepas hari pertama peristiwa pencerobohan itu berlaku, orang ramai berpusu-pusu membeli barang keperluan sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kejadian lebih buruk berlaku. Penduduk bukan saja bimbang keluar rumah tetapi anak-anak mereka juga tidak dapat ke sekolah sewaktu kebimbangan memuncak. Pejabat terpaksa ditutup, manakala peniaga juga tidak berani berniaga tanpa jaminan keselamatan. Ibu bapa bimbang menghantar anak-anak ke sekolah walaupun jaminan dibuat keadaan adalah terkawal. Ketika itu berita angin yang cenderung kepada maklumat yang menakutkan, tersebar dengan meluas. Biasanya, dalam keadaan masyarakat mencari maklumat yang tepat, berita angin paling cepat tersebar. 

Kebimbangan keluarga
 
Hari ini beribu-ribu anggota polis berada di sekitar Lahad Datu. Ini bermakna beribu keluarga mereka di seluruh negara juga bimbang keselamatan mereka tidak kiralah sama sama ada anggota keselamatan itu suami, anak, bapa, abang atau adik yang berada di kawasan konflik itu. Jika anggota keselamatan tidak boleh tidur kerana berkawal, keluarga mereka juga sukar melelapkan mata kerana bimbang keselamatan mereka. Dengan melihat mayat anggota keselamatan yang terbunuh setelah rundingan buntu tempoh hari, kebimbangan keluarga mereka meningkat.

Kesan psikologi ini amat berat ditanggung. Kerajaan berharap isu pencerobohan itu diselesaikan segera kerana tidak mahu menyusahkan rakyat begitu lama. Sudah tentulah untuk membersihkan kawasan itu memerlukan anggota keselamatan sama ada daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ramai bilangannya. Jika ada pihak menggembar-gemburkan bilangan pasukan keselamatan lebih ramai daripada musuh, ia adalah semata-mata kerana kerajaan mahu menamatkan konflik itu dengan segera, walau apa juga kosnya. Untuk tujuan itu, kerajaan membentuk kawasan keselamatan khas membabitkan enam daerah di Sabah kawasan dari Kudat ke Tawau merangkumi Sandakan, Semporna, Lahad Datu dan Kunak dengan kawasan pantai sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah. Lima batalion tambahan angkatan tentera dan polis akan ditempatkan di lokasi strategik. Semua ini dilakukan kerana bimbang peristiwa di Lahad Datu ini berlarutan yang akhirnya menimbulkan masalah kepada rakyat. Sesungguhnya, peristiwa pencerobohan di Lahad Datu adalah pengalaman amat berguna kepada kerajaan dan rakyat bagi mengatasi apa juga kelemahan. Ia juga membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia tidak bertolak ansur dengan kegiatan pengganas. 

Kenyataan Anwar Ibrahim Berkaitan Kegagalan UMNO Mengawal Keselamatan Lahad Datu


Lahad Datu: Antara realiti dan sandiwara

Sebuah kereta perisai tentera di Kampung Tanduo, Lahad Datu berikutan pertempuran antara pasukan keselamatan dan penceroboh Sulu, baru-baru ini. 
 
SEJAK menjadi wartawan profesional (sepenuh masa) lebih 24 tahun lalu, saya terlalu banyak bergelumang dengan politik. Saya dikelilingi oleh orang politik yang berbagai warna dan corak.

Maka itu kami sudah tidak hairan dengan permainan sepak-terajang, auta, silap mata dan sandiwara politik.

Namun, sepanjang kerjaya itu jugalah Anwar Ibrahim dilihat sebagai pemain yang cukup hebat. Permainan beliau cukup dengan muslihat yang licik. Permainannya sukar dikesan. Namun para wartawan cukup arif dengan pergerakan beliau.
Semasa "pemerintahan" beliau selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia dahulu, rata-rata kalangan wartawan seusia dan sezaman dengan saya ketika itu cukup "tidak begitu gemar dengan beliau".

Setiap kali duduk di meja minum, tiada perkara lain yang digossipkan, kecuali mengenai si Anwar ini. Pendek kata, semasa beliau dalam Kabinet lagi, kami para wartawan sudah mula menggossipnya. Ada sahaja yang tidak kena dengan gelagat si Anwar ini, baik dari segi perwatakannya, sikapnya, cara menovering-nya, penguasaannya terhadap "bos-bos" media kami, mengenai lingkungan sahabat-sahabat kroninya dan pelbagai lagilah.

Beliau dilihat cukup rakus dan kemudian kelihatan gelojoh. Cara hidupnya berubah sekelip mata daripada corak ABIM kepada korporat. Kroni-kroninya juga turut berubah.

Setiap kali minum teh tarik di atas meja (pada masa itu), ada sahaja kami mengata mengenai beliau. Ia termasuklah mengenai cara beliau berucap. Berbunga-bunga dan berfalsafah sehinggalah kami tidak faham apa yang mahu diucapkan.

Selepas beliau dipecat, maka terserlah lagi sikap beliau yang sebenar. Warna-warna sebenar kulit Anwar sudah terjelma. Terus-terang kami katakan itulah sebenarnya Anwar Bin Ibrahim. Beliau lebih licik lagi.

Beliau suka berdrama. Beliau suka berteater. Beliau suka bersyair. Beliau suka berpuisi. Sehingga dalam hal-hal realiti pun beliau suka bersandiwara.

Oleh itu tidak hairanlah, beliau pernah menuduh kerajaan meracunnya dengan racun arsenik. Sepanjang tempoh perbicaraannya dulu, dia memakai pendakap leher dengan imej mata lebam untuk menunjukkan simpati kepada rakyat. Drama sakit pinggangnya cukup mendebarkan dan macam-macam lagi.

Drama beliau cukup hebat. Disingkatkan cerita yang panjang, kini isu pencerobohan di Lahad Datu juga mahu didramakan.

Puak-puaknya tiba-tiba mengatakan itu semua sandiwara. Hulu balangnya, yang gemar tidur di depan trak FRU, Tian Chua mengatakan ia hanyalah ploy (muslihat) UMNO untuk menarik perhatian rakyat. Ada yang sanggup mengatakan tugas polis dan tentera adalah untuk mati dan berbagai-bagai lagi.

Tian Chua enggan memohon maaf kepada pihak keselamatan polis dan tentera apabila membuat tuduhan itu. Saya difahamkan beliau ada menghantar SMS kepada satu pihak mengatakan "saya serahkan nasib saya kepada Yang Maha Esa" namun tidak sekali-kali akan memohon maaf.

Orang Anwarinas dalam Pas juga mendakwa tragedi di Lahad Datu sebagai sandiwara.

Berikut ialah petikan berita Tian Chua yang ditulis oleh lidah rasmi PKR, Keadilan Daily.

KUALA LUMPUR 1 MAC: Serangan tembak menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan UMNO.

"Kita rasa pelik kenapa media Malaysia tidak melaporkan kejadian itu? Semua sumber laporan oleh media asing. 

"Dari mana mereka dapat info sedangkan tidak ada wakil media yang dibenarkan membuat liputan? Malah berita yang dilapor itu setakat ini belum diketahui kesahihannya," kata Tian kepada Keadilan Daily.

Namun peliknya, sepanjang tempoh tragedi Lahad Datu itu tiada siapa pun daripada kalangan PKR mahupun Pas yang berkunjung ke Sabah mahupun Sarawak untuk menunjukkan rasa simpati mereka. Yang dilaporkan pergi hanya Lim Kit Siang ke Sabah iaitu dua hari selepas kejadian dan tokoh kerdil PKR, CheguBard hujung minggu lalu. Selain daripada itu tiada.

Tapi yang hairannya, sebelum tragedi Lahad Datu itu Anwar dan konco-konconya sering berulang-alik ke Sabah. Anwar ke Sabah pada Disember 2012 lalu bersama-sama Azmin Ali dan beberapa yang lain, sambil bergembira menyanyi dan menari lagu 'Sabah Akan Hilang'.

Benarkah beberapa ketika sebelum itu, Anwar difaham dan dikatakan beberapa kali ke Filipina. Tidak diketahui untuk tujuan apa?

Selepas daripada itu Anwar mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Januari lalu, sebelum meletusnya tragedi di Lahad Datu baru-baru ini.

Semuanya berlaku secara kebetulan. Pihak pembangkang terus menerus mengatakan bahawa BN akan kehilangan simpanan tetapnya (fixed deposit) di Sabah. Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen.

Tiba-tiba, nak jadikan cerita lebih kalut. Bekas penyiasat persendirian P. Balasubramaniam (PI Bala) balik dari tempat persembunyiannya di luar negara. Setibanya dalam negara, dia dibawa mengadakan ceramah di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur untuk mengaitkan PM dengan kes Altantuya. Malah semasa tiba di lapangan terbang dia secara terus terang mengatakan "pulang untuk membantu pembangkang".

Namun, ceramah itu dikatakan tidak mencapai matlamat yang dikehendaki. Apa yang dia cakap sebelum ini dan pada ceramah itu tidak konsisten. Tahu-tahu PI Bala dikatakan diserang sakit jantung pula semasa berceramah di Bachok, Kelantan. Dia kini berada di hospital.

Aktivis PKR, CheguBard dalam blognya kelmarin mendakwa PI Bala mungkin menjadi mangsa sihir(?!)

Berikut petikan CheguBard dalam Kedailan Daily kelmarin: Katanya, terdapat dakwaan mengatakan Balasubramaniam jatuh sakit kerana terkena ilmu sihir.

"Ada kawan-kawan sebut, angkara ilmu hitam. Saya tak tahu. Mereka (musuh Bala) boleh buat apa sahaja. Yang penting, kita tawakal kepada Maha Pencipta," kata Badrul.

Secara kebetulan atau sengaja mahu mengalihkan perhatian penduduk Malaysia daripada isu Lahad Datu, PKR tiba-tiba mengadakan sidang akhbar bapa Saiful, Azlan Bukhari.

Melihatkan tiada impak besar pendedahan Azlan berbanding pendirian anaknya Saiful yang terus mendakwa dia diliwat oleh Anwar, Azlan membuat satu lagi sidang akhbar di pejabat PKR kelmarin.

Itu juga tidak berjaya untuk menutup pendirian Saiful yang terus menuduh Anwar meliwatnya. Saiful pernah bersumpah laknat di dalam masjid diiringi oleh bapanya, Azlan.

Selagi saya berada dalam lingkungan kewartawanan Malaysia dan politik Malaysia maka sandiwara demi sandiwara ini akan terus berlaku.

REALITINYA: Tragedi pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna serta kawasan sekitarnya telah mengorbankan lapan nyawa anggota pasukan keselamatan kita. Ia bukan main-main. Kita tidak tahu mengapa ada orang yang bermain sandiwara dalam hal ini? (Berita terbaru pagi semalam melaporkan seorang lagi anggota perajurit kita terkorban).

Anggota-anggota polis itu dibunuh, juga dengan penuh tipu muslihat melalui serangan gerila. Pengganas ini dikatakan cukup ganas dan kejam sehingga sanggup mencederaparahkan anggota badan anggota-anggota keselamatan yang dibunuh dan semasa mereka masih nazak. Tak perlulah saya perincikan keadaan jenazah para syuhada itu, terlalu sedih.

Hasil daripada tragedi pencerobohan itu, rakyat Malaysia telah bersatu. Soal keselamatan negara dianggap tidak boleh dikompromi.

Keselamatan berada di paras tertinggi keperluan hidup rakyat, mengatasi politik dan ekonomi.

Rakyat pelbagai bangsa termasuk kaum Cina yang menguasai ekonomi negara, mula menunjukkan sokongan secara semula jadi kepada peristiwa pencerobohan tersebut. Security First, kata mereka.

Tian Chua yang cuba mengalihkan perhatian daripada isu Lahad Datu itu ditolak rakyat. Lebih 1,000 repot polis dibuat di seluruh negara.

Tian Chua dikutuk di sini-sana.

DAP nampaknya cuba pejam mata dengan isu ini. Jika isu-isu lain, termasuk kes ahlinya terjun bangunan di Shah Alam dulu mereka mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja, isu Lahad Datu mereka hanya meminta supaya ditubuhkan Jawatankuasa Parlimen. DAP senyap sunyi dalam isu kedaulatan negara yang dicerobohi ini.

Dalam PKR sendiri berlaku krisis antara ahli Melayu dan Cina. Ada sesetengah pemimpin Melayu mendesak Tian Chua dikenakan tindakan disiplin di atas keceluparannya. Ahli-ahli Cina hanya berdiam diri.

Semoga Malaysia yang indah dan kaya ini, terus aman dan damai.


Tumpah darah terkenang suami

Ipoh: Kematian Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dalam pertempuran dengan pengganas di Lahad Datu, baru-baru ini masih ditangisi isterinya, Noor Aziah Noor.
Kesedihan kerana kehilangan suami tercinta dalam pertempuran pertama pasukan keselamatan dengan pengganas pada 1 Mac lalu di Kampung Tanduo, turut menyebabkan Noor Aziah, 28, yang sedang hamil mengalami tumpah darah Isnin lalu. 

Namun, menurut ibunya, Khalipah Mohd Isa, 54, kandungannya yang berusia dua bulan disahkan selamat. Dia masih belum kuat dan belum dapat terima hakikat kehilangan arwah. Mungkin juga sebab letih dan banyak terima kunjungan ramai orang sehingga tumpah darah. Buat masa ini, dia masih berehat di rumah dan lebih banyak termenung, katanya.

Terima sumbangan

Beliau ditemui selepas mewakili Noor Aziah menerima sumbangan RM20,000 daripada FELDA Global Ventures Holding Bhd (FGVHB); DRB-HICOM (RM10,000) serta ganjaran cuti rehat Allahyarham berjumlah RM9,700 pada majlis di Mes Pegawai Kanan Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Hulu Kinta di sini semalam.

Pada majlis itu, isteri Sarjan Sabaruddin Daud, 47, seorang lagi anggota Komando VAT 69 yang gugur, Nurunnisa Abu Bakar, turut menerima sumbangan berjumlah RM20,000 daripada FGVHB dan RM10,000 (DRB-HICOM) serta ganjaran cuti rehat berjumlah RM15,900.

Turut menerima sumbangan ialah waris Komando VAT 69 yang cedera dengan masing-masing menerima RM5,000.

Mereka ialah Dora Ablina Abdullah, isteri Lans Koperal Mohd Tarmizi Hashim; Marinah Djapar (isteri Koperal Azman Ampong) serta ibu bapa Lans Koperal Mohamad Qaiyum Aikal Zolkipli iaitu Zolkipli Mohd Sidek dan Hasnah Abdul Manan.

Sumbangan disampaikan isteri Pengerusi Kumpulan FELDA, Puan Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid, diiringi isteri Ketua Pegawai Eksekutif FGVHB, Datin Dr Jahara Yahaya. Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datin Seri Puziah Bahari.

Khalipah berkata, Kementerian Pelajaran juga sudah meluluskan permintaan Noor Aziah untuk menukar latihan praktikal dari sebuah sekolah di Tanjung Rambutan, dekat sini, ke sebuah sekolah di Kangar, Perlis, dekat dengan kampung halamannya, mulai Isnin ini.

Majlis tahlil

Beliau yang berada di Ipoh sejak dua minggu lalu bagi membantu memelihara dua cucunya, berkata mereka sekeluarga dijangka balik ke Kangar selepas solat Jumaat esok.

Pada Rabu depan, kami mengadakan majlis tahlil untuk arwah, katanya sambil berharap kepulangan mereka ke kampung halaman sekurang-kurangnya dapat mengubati kesedihan Noor Aziah.

Sementara itu, Dora Ablina, 32, mengambil cuti sebagai penjawat awam semata-mata untuk menjaga suaminya yang masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Setiap hari saya membaca Yassin memohon agar suami segera pulih, katanya.

Nurul Izzah keliru fungsi polis





KUALA LUMPUR 13 Mac - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar disindir kerana tidak dapat membezakan antara Pasukan Polis Hutan (PPH) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Merujuk sedutan rakaman ceramah berkenaan di YouTube, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu seolah-olah keliru apabila bercakap tentang PPH dan PGA serta kaitannya dengan insiden pencerobohan pengganas dari Sulu di Sabah.

''Masalahnya ialah masalah struktur. Semua polis itu ramai, kebanyakan besar dihantar jadi polis hutan, 'General Operations Force' (PGA) untuk lawan komunis dulu.

''You do not need 'General Operations Force' now (anda tidak perlukan PGA sekarang),'' kata Nurul Izzah seperti dipetik daripada rakaman YouTube di http://www.youtube.com/watch?v>7RQ9gceBljE


atikel terdahulu klik sini

Parlimen automatik bubar 30 April

Kuala Lumpur: Parlimen bubar secara automatik pada 30 April dan bukan 28 April seperti diuar-uarkan sebelum ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dilangsungkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun PRU, dikira berdasarkan tarikh sidang pertama Dewan Rakyat selepas pilihan raya berlangsung, bukan tarikh pilihan raya umum diadakan dan pengiraan berkenaan sudah disahkan penasihat undang-undang suruhanjaya berkenaan. 

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar), berkata Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama yang Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik iaitu 27 Mac ini jika Parlimen tidak dibubarkan sebelum itu.


Ramai termasuk pemimpin politik tidak sedar perkara ini hingga buat andaian Parlimen sepatutnya terbubar sendiri 9 Mac lalu. Sidang pertama Dewan Rakyat selepas PRU-12 ialah 28 April 2008, tetapi disebabkan 28 April 2013 jatuh pada Ahad, ia dibawa kepada 29 April dan Parlimen bubar secara automatik 30 April, katanya. 

PM masih berkuasa
 
Aziz berkata, sehingga 30 April itu, Perdana Menteri masih berhak bersuara dan segala keputusan kerajaan adalah sah, malah apabila Parlimen dibubarkan, kerajaan sedia ada bertindak selaku kerajaan sementara dan Perdana Menteri boleh membuat keputusan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong. 

Sementara itu, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menolak dakwaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jumlah pengundi di daerah mengundi (DM) Bestari Jaya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok melebihi penduduk. 

Tindakan beliau menyebarkan perkara itu melalui akhbar partinya dilihat tidak ikhlas dan cuba mengelirukan orang ramai, sedangkan SPR memberi ruang kepada mana-mana pihak yang mencurigai daftar pemilih untuk membantah ketika Rang Daftar Pemilih Tambahan suku tahun dipamerkan, katanya dalam satu kenyataan. 

Kamaruddin, berkata, DM Bestari Jaya Utara lebih luas dan tidak terhad dalam kawasan pekan Bestari Jaya, sebaliknya bermula dari sempadan Ladang St Andrew dan berakhir di sempadan Kampung Sungai Darah dengan dipisahkan jalan utama Batang Berjuntai-Kuala Selangor. 

DM Bestari Jaya Utara mengandungi 18 lokaliti iaitu taman perumahan, kampung tradisi, kuarters kerajaan dan penempatan utama. Kenyataan Menteri Besar Selangor itu dipercayai hanya merujuk Bestari Jaya Utara yang didakwa mempunyai hanya 1,788 penduduk dan ia adalah tidak benar. 

Berdasarkan daftar pemilih sehingga Disember 2012, pemilih di DM Bestari Jaya ialah 3,558 orang, peningkatan 1,317 orang berbanding 2006 disebabkan pertambahan sembilan lokaliti baru iaitu taman perumahan, katanya. 

Beliau berkata, hasil semakan bagi 2006 ketika Pilihan Raya Kecil DUN Ijok 2007, pemilih di sana 2,241 orang, tetapi perkara itu tidak pernah dibangkitkan atau dibantah ketika Khalid bertanding seterusnya menang kerusi itu. 

Agbimuddin gagal lolos

Agbimuddin gagal lolos  


Rondaan kereta perisai di Kampung Sungai Nyamuk ketika pasukan keselamatan meneruskan kepungan manakala operasi mencari serta menggeledah diteruskan. - Foto ihsan MINDEF
 
Lahad Datu: Ketua pengganas, Agbimuddin Kiram, dipercayai terkepung di Gugusan Labian, dekat sini, kerana gagal meloloskan diri ke selatan Filipina.

Anak buahnya dipercayai cuba melarikan adik Jamalul Kiram III itu, tetapi gagal berikutan kepungan ketat pasukan keselamatan di darat dan laut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata Agbimuddin dipercayai disembunyikan anak buahnya bagi mengelak daripada ditahan, cedera atau terbunuh jika bertempur dengan pasukan keselamatan.


Sembunyi di zon perang

Saya yakin dia bersembunyi di zon perang dan menyusun taktikal perang, katanya pada sidang media bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di FELDA Sahabat 16, semalam.

Beliau berkata, pasukan keselamatan terus berusaha membawa keluar mayat pengganas Sulu untuk dibedah siasat selepas 25 mayat berjaya dikeluarkan setakat ini.

Selain itu, katanya, Kampung Sungai Nyamuk, Sungai Bilis dan Tanjung Batu terus dikepung pasukan keselamatan manakala operasi mencari serta menggeledah diteruskan.